Jumaat, 3 Julai 2009

Kenanganku Di Mekah dan Madinah

Semasa aku di perjalanan (musafir) , aku telah memasang niat agar Allah izinkan aku untuk mengambil gambar dan merakamkan keadaan di Tanah Haram. Tujuan ku hanyalah untuk kedua orang tuaku melihat sendiri bagaimana keadaan di sana.



Aku tahu hati kedua orang tuaku begitu sayu sewaktu melepaskan aku namun apa dayaku kerana kemampuan kami tidak mengizinkan untuk kami pergi bersama. Kerana itulah rakaman ini ku ambil agar dapat menyejuk kan hati mereka dan dapat mereka melihat suasana di Tanah Haram ini.



Rakaman ini juga ku harap dapat mengajak ramai lagi mereka yang berkemampuan agar melupakan hasrat untuk kelain tempat melainkan datang ke Rumah Allah ini. Marilah kita sebagai hambaNya menyahut panggilannya dan memohon keampunan atas segala dosa-dosa yang telah kita lakukan.



Bagi anak-anak yang berkemampuan, bawalah kedua ibu bapa anda datang ke rumah Allah ini agar menjadi ubat bagi keduanya.



Perumpamaannya adalah seperti jasad, jika lapar ianya perlu makan begitulah juga Roh. Roh inilah dikenali sebagai Rohani dan makanannya ialah zikir dan zuhud. Maka tidakkah bertuah rasanya jika dapat sampai ke rumahNya dan berada dekat denganNya?. Dapat meminta terus darinya dan Dia Maha mengabulkan sedangkan meminta pada manusia, ada masanya kita dihinakan malah kadang-kadang disisihkan?.



Semoga apa yang ditonton akan menambahkan perasaan untuk sampai ke sana.. Insyaallah.

Kesyukuranku pada Mu Ya Allah

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera

Semasa remaja, sikap dan keinginanku berlainan dari remaja waktu itu. Kalau dulu rakan-rakan sibuk mencari cinta dan keinginan untuk berumahtangga, tapi aku pula berkeinginan sekali untuk datang kerumahMu Ya Allah dan juga ingin sekali kenegeri NabiMu Muhammad S.A.W (Madinah Al Munawarah).

Kehidupanku tidak sesenang dan seselesa rakan-rakan yang lain, namun aku bersyukur ke hadratMu kerana kenikmatan hidup yang Engkau berikan padaku. Kenikmatan kesehatan, kenikmatan melihat, merasa, mendengar, berjalan, bercakap, makan, minum, bergerak dan segalanya Ya Allah. Kenikmatan yang tidak terhitung nilainya.

Ya Allah, aku bermohon padamu Ya Allah, selagi ada daya ku, panggillah aku lagi menjadi tetamu Mu dan kau berikanlah aku rezeki yang banyak agar ianya menjadi penambah pahala bagiku dan janganlah jadikan ianya penambah dosa-dosaku. Ampunilah aku Ya Allah.

Alhamdulillah, setelah berpuluh tahun berlalu, aku akhirnya dapat mengumpulkan wang bagi perbelanjaan dan perjalananku ke Mekah dan Madinah Al Munawwarah.

Ya Allah, tak terkata bersyukurnya aku kala menatap Baitullah Mu. Tak terucap hatiku melainkan takbirku melaungkan Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar. Kesyukuran yang tidak terhingga kerana Kau memanggil dan menerima ku sebagai tetamu Mu.

Di sana, hatiku berdoa agar aku mendapat rezeki yang banyak yang membolehkan aku untuk membawa kedua orang tuaku datang ke rumah Mu.

Ketika aku menjejakkan kaki ku ke rumah Mu, hatiku begitu pilu bila mengingatkan kedua orang tuaku.
Aku merasa begitu sedih sekali tatkala melihat wajah keduanya yang menghantar pemergianku di KLIA. Ya Allah, bukan aku tidak mahu membawa mereka, namun aku tidak mampu.
Kerana itu Ya Allah, aku datang bersendirian dengan doa agar Insyaallah, kau berikan aku rezeki supaya aku dapat membawa kedua orang tuaku yang aku cintai, adik beradik ku dan mereka yang tinggal bersamaku agar dapat datang ke rumah Mu Ya Allah.
Sehingga kini, aku masih tidak putus-putus berdoa agar dimurahkan rezeki kerana aku terlalu ingin untuk membawa mereka datang ke rumah Mu dan ke negeri Nabi Mu Ya Allah.

Mudah-mudahan kau kabulkan hajatku Ya Allah, Amin.