Rabu, 23 Jun 2010

Haq itu haq, bathil itu bathil

Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada anak muridnya. Ia duduk menghadap anak muridnya. Di tangan kiri memegang kapur, di tangan kanannya memegang kayu pemadam.

Kata guru..,"Saya ada satu permainan..., caranya begini, di tangan kiri cikgu ada kapur, di tangan kanan pula kayu pemadam. Bila cikgu angkat kapur, maka kamu sebut 'Kapur!' ya. Jika cikgu angkat kayu pemadam, maka kamu kata 'Pemadam!. Faham ya?"

Anak murid mengangguk faham. Guru mula mengangkat tangan kanan dan kiri silih berganti dan anak murid mula menyebut apa yang dipegang ditangan guru dengan betul. Guru bersilih-ganti mengangkat tangan kanan dan kiri dengan semakin lama semakin cepat.

Guru kemudian berhenti melakukan gerakan lalu menukar corak permainan."Baik sekarang bila saya angkat kapur, kamu sebut "Pemadam!", bila saya angkat kayu pemadam, maka kamu sebut 'Kapur!'. Lalu seperti tadi, guru tadi mula mengulang gerakan sepertimana permainan awal. Bila dia mengangkat kapur, ada anak murid yang tersasul masih lagi menyebut 'kapur' sedangkan mereka sepatutnya menyebut 'pemadam'. Anak murid jadi keliru dan kekok, sangat sukar untuk mengubahnya. Namun guru itu tak putus asa, terus sahaja mengulang hingga akhirnya anak-anak murid tadi jadi biasa dan tak kekok lagi.

Selang beberapa saat, permainan mula rancak dan anak murid lancar menyebut tanpa kekok. Sejurus kemudian permainan berhenti.

Guru tadi tersenyum kepada anak muridnya lalu mula bertanya adakah permainan ini seronok?.

Murid-murid menjawab 'ya'.

Kemudian guru tadi mula menerangkan pengajaran yang boleh didapati dari permainan tadi.

"Murid-murid, permainan ini mencorakkan kita umat Islam sekarang ni. Mulanya sebutan kapur adalah 'kapur' dan pemadam adalah 'pemadam' itu merupakan yang haq kemudian apabila kapur disebut pemadam dan pemadam disebut kapur, itu merupakan yang bathil.

Begitulah agama kita Islam. Islam mengajar kita yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh memaksa kita dengan menggunakan perbagai cara untuk menukarkan sesuatu yang hak menjadi bathil dan bathil menjadi hak. Seperti pemadam tadi disebut 'kapur' dan kapur disebut 'pemadam', maka jadilah pemadam yang haq tadi kepada kapur yang bathil".

"Pada mulanya agak sukar bagi kita untuk menerima, tapi kerana terus disosialisasikan dengan pelbagai cara menarik oleh orang-orang kafir, kita akhirnya jadi terbiasa dan seterusnya kita mula mengikutinya."

"Musuh-musuh kita tak pernah berhenti membolak-balik dan menukar nilai murni akidah dan hukum Islam dari masa ke semasa. Keluar berduaan, berkasih-kasihan bukan lagi sesuatu yang pelik. Zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah. Tanpa rasa malu, sex sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib dah jadi perkara biasa. Materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan banyak lagi yang lain. Sedangkan Islam mengatakan itu semua adalah bathil.

"Semuanya sudah terbalik dan tanpa disedari sedikit demi sedikit kita telah pun menerimanya tanpa merasakan ianya adalah satu kesalahan dan kemaksiatan. Kita akhirnya menganggap yang bathil tadi ialah haq, faham?" tanya guru kepada anak-anak muridnya.

Murid-muridnya mengangguk faham.

"Baik untuk permainan kedua..." kata gurunya lagi.., "Cikgu ada Qur'an, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang kamu semua berdiri di luar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya kita nak ambil Qur'an yang ada ditengah-tengah tanpa perlu memijak karpet?"

Murid-muridnya berfikir. Ada yang cuba capai dengan tongkat dan beberapa cara selainnya. Setelah bertungkus lumus, akhirnya guru tadi memberikan jalan keluarnya yang paling mudah.

Guru tadi menggulung karpet lalu mengambil Qur'an tadi. Ia telah memenuhi syarat permainan iaitu tidak memijak karpet.

"Murid-murid, begitulah umat Islam dengan musuhnya. Musuh Islam tidak memijak kita secara terang-terangan kerana jika itu berlaku kita tentu akan menolaknya mentah-mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi musuh Islam monolak kita secara beransur-ansur, sehingga kita tidak sedar"

Lanjut Guru lagi, "Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka binalah tapak yang kuat dulu. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentulah bukan dimulai dengan tapaknya, tentu saja peralatan rumah seperti kerusi meja, almari, dan segala bagai perlu dikeluarkan, barulah dinding rumah dihancurkan dan akhir sekali tapaknya. Begitulah juga dengan agama kita, agama Islam. Kuatnya agama kerana aqidah yang kuat yang berfungsi sebagai tapak yang mencerminkan akhlak yang baik lalu melahirkan perangai yang molek, perasaan malu dan berbudi bahasa.

"Yang diatas tadi adalah bagaimana caranya musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Mereka tidak menghentam kita secara terang-terangan, tapi perlahan-lahan merusakkan aqidah kita. Mulai dari hiburan, ianya merubah prinsip dan perangai kita dari cara hidup, pakaian dan lain-lain lagi sehingga meskipun kita muslim tapi secara halusnya kita telah meninggalkan ajaran Islam yang haq dan mengikuti cara mereka yang bathil. Itulah yang mereka inginkan."

"Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita."

"Kenapa mereka tidak berani memijak-mijak kita secara terang-terangan cikgu?" tanya seorang dari muridnya.

"Dulu mereka terang-terangan menyerang Islam, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan banyak lagi yang tercatat dalm sejarah Islam tapi orang Islam jadi bersatu dan bangkit serentak lalu menentang orang-orang kafir habis-habisan menyebabkan mereka gerun. Sebab itu sekarang mereka tak lagi menyerang kita terang-terangan. Mereka serang secara perlahan-lahan dan umat Islam tidak sedar".

Jadi sebelum kita balik hari ini, marilah kita berdoa agar Allah sentiasa membantu kita, umat Islam dalam menghadapi orang-orang yang kafir" ujar guru tadi lalu menadah tangan sambil mula membaca doa dua ayat terakhir penutup surah Al Baqarah ayat 285 dan 286 dan diaminkan anak-anak muridnya.

Ilham tercetus dari email seorang Sahabat yang bercerita tentang pelajaran yang di ajar di sebuah sekolah.

renung-renungkanlah akan cerita tadi.

Jumaat, 4 Jun 2010

Ziarah Madinah Al Munawarrah (Masjid Nabawi, Maqam Baqi dan Jabal Uhud)


Assalamualaikum,


Kali ni saya upload pula ziarah saya di kota Rasulullah yang mulia iaitu Madinah Al Munawwarah. Kota berkah yang kedua mulia selepas Mekah Al Muqarramah. Kecantikan dan keindahan kota Madinah bersih terbela, sesuai dengan ciri-ciri pemimpinnya iaitu Rasulullah S.A.W sendiri yang hingga kini masih menjadi ikutan umatnya. Sesuai dengan ajaran islam yang menitik beratkan kebersihan, Madinah terjaga kebersihannya.


Di Madinah terletaknya Maqam junjungan besar Nabi kita, Muhammad S.A.W dan zuriat keturunannya. Makam Baginda letaknya di dalam Masjid Nabawi, masjid kedua yang hasanatnya tinggi diberikan Allah kepada sesiapa yang membaca Al Quran di dalamnya selepas Masjidil Haram. Bersebelahan Maqam Baginda ialah Maqam Saidina Abu Bakar, disebelah Maqam Saidina Abu Bakar pula ialah Maqam Saidina Umar Al Khattab. (Maaf, gambarnya tak dapat saya sertakan kerana video, camera mahupun handphone berkamera tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam masjid Nabawi). Lagi pula bagi jemaah wanita, ada tabir yang menutupi antara kami dan Maqam tersebut.


Diberitakan juga bahawa disebelah Maqam Saidina Umar Al Khattab, tersedia sebuah lagi Maqam yang masih kosong. Dikatakan Maqam tersebut disediakan buat Nabi Allah Isa a.s yang akan turun di akhir zaman nanti. Wallahualam.


Dalam video ini, anda akan dapat saksikan Maqam Al-Baqi' yang terletak di belakang Masjid Nabawi, dimana bersemadinya para pejuang islam, sahabat-sahabat Rasulullah, diantaranya Maqam Saidina Othman bin Affan dan keluarga Rasulullah SAW selain dari anak tempatan dan jemaah yang telah dipanggil Allah. Disini juga bersemadinya jasad puteri kesayangan Rasulullah S.A.W, Fatimah Az Zahra.


Bas yang kami naiki berhenti sebentar bagi memberi salam dan penghormatan kepada ahli kubur dengan bacaan doa.


Kemudian perjalanan kami diteruskan ke Jabal Uhud. tempat bersejarah dalam perjuangan menegakkan agama Islam dan Maqam para Shuhada yang shahid di dalam peperangan Uhud. Salah seorang diantaranya ialah bapa saudara Rasulullah S.A.W sendiri, Hamzah bin Abdul Mutalib.


Para peniaga dikota Madinah ramah tamah dan berbudi bahasa. Apabila mendengar sahaja jemaah Malayzi (sebutan bagi Malaysia), mereka akan terus memuji dengan berkata...'Malaysia bagus' sambil mengangkat ibu jari. Keramahan mereka terbatas dan tidak berlebih-lebih. Sesuai dengan tatasusila dan peradaban yang diajar Islam .


Seterusnya kami dibawa ke Jabal Rahmah. Bukit dimana bertemunya Nabi Allah Adam A.S dengan Hawa setelah mereka diperintahkan Allah turun ke bumi. Setelah beratus tahun berjalan dan memohon keampunan, akhirnya Allah mempertemukan keduanya disini.


Ramai umat Islam yang berdoa mohon kasih sayang berpanjangan, mohon jodoh dan banyak lagi kerana dikatakan doa disini makbul. Wallahualam.


Apa pun Rasulullah tidak mengajar umatnya supaya mendaki bukit dan bersembahyang diatasnya. Tegahan ini tertera pada papan tanda yang tertulis di kaki bukit ini tapi ramai juga yang melakukan sebaliknya. Mudah-mudahn kita tak tergolok dalam perbuatan bidaah mahu pun khurafat. Nauzubillah.


Seterusnya nanti, Insyaallah, jika diizinkan... anda akan saya tontonkan pula dengan lawatan ke Ladang Kurma dan Jabal Magnet. Video nya agak besar menyebabkan saya terpaksa edit dan split kan lawatan ke Ladang Kurma dan Jabal Magnet.