Assalamualaikum,
Kali ni saya upload pula ziarah saya di kota Rasulullah yang mulia iaitu Madinah Al Munawwarah. Kota berkah yang kedua mulia selepas Mekah Al Muqarramah. Kecantikan dan keindahan kota Madinah bersih terbela, sesuai dengan ciri-ciri pemimpinnya iaitu Rasulullah S.A.W sendiri yang hingga kini masih menjadi ikutan umatnya. Sesuai dengan ajaran islam yang menitik beratkan kebersihan, Madinah terjaga kebersihannya.
Di Madinah terletaknya Maqam junjungan besar Nabi kita, Muhammad S.A.W dan zuriat keturunannya. Makam Baginda letaknya di dalam Masjid Nabawi, masjid kedua yang hasanatnya tinggi diberikan Allah kepada sesiapa yang membaca Al Quran di dalamnya selepas Masjidil Haram. Bersebelahan Maqam Baginda ialah Maqam Saidina Abu Bakar, disebelah Maqam Saidina Abu Bakar pula ialah Maqam Saidina Umar Al Khattab. (Maaf, gambarnya tak dapat saya sertakan kerana video, camera mahupun handphone berkamera tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam masjid Nabawi). Lagi pula bagi jemaah wanita, ada tabir yang menutupi antara kami dan Maqam tersebut.
Diberitakan juga bahawa disebelah Maqam Saidina Umar Al Khattab, tersedia sebuah lagi Maqam yang masih kosong. Dikatakan Maqam tersebut disediakan buat Nabi Allah Isa a.s yang akan turun di akhir zaman nanti. Wallahualam.
Dalam video ini, anda akan dapat saksikan Maqam Al-Baqi' yang terletak di belakang Masjid Nabawi, dimana bersemadinya para pejuang islam, sahabat-sahabat Rasulullah, diantaranya Maqam Saidina Othman bin Affan dan keluarga Rasulullah SAW selain dari anak tempatan dan jemaah yang telah dipanggil Allah. Disini juga bersemadinya jasad puteri kesayangan Rasulullah S.A.W, Fatimah Az Zahra.
Bas yang kami naiki berhenti sebentar bagi memberi salam dan penghormatan kepada ahli kubur dengan bacaan doa.
Kemudian perjalanan kami diteruskan ke Jabal Uhud. tempat bersejarah dalam perjuangan menegakkan agama Islam dan Maqam para Shuhada yang shahid di dalam peperangan Uhud. Salah seorang diantaranya ialah bapa saudara Rasulullah S.A.W sendiri, Hamzah bin Abdul Mutalib.
Para peniaga dikota Madinah ramah tamah dan berbudi bahasa. Apabila mendengar sahaja jemaah Malayzi (sebutan bagi Malaysia), mereka akan terus memuji dengan berkata...'Malaysia bagus' sambil mengangkat ibu jari. Keramahan mereka terbatas dan tidak berlebih-lebih. Sesuai dengan tatasusila dan peradaban yang diajar Islam .
Seterusnya nanti, Insyaallah, jika diizinkan... anda akan saya tontonkan pula dengan lawatan ke Ladang Kurma dan Jabal Magnet. Video nya agak besar menyebabkan saya terpaksa edit dan split kan lawatan ke Ladang Kurma dan Jabal Magnet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan