Sabtu, 17 April 2010

Yang susah semakin terhimpit dan yang senang semakin khilaf

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan tubuh yang sehat, akal yang waras, ilmu yang banyak, pancaindera yang sempurna, kenikmatan hidup yang tidak terhingga dan segala-galanya kerana apa yang diberikan Allah sungguh tak terhitung banyaknya dibandingkan apa yang kita perbuat dalam mensyukuri pemberian-Nya. Astaghfirullahalazim dan Subhanallah.


Dalam melayari kehidupan harian, kita mungkin terlepas pandang pada apa yang berlaku disekitar kita. Banyak perkara yang tak kita ambil endah sedangkan semua yang berlaku, ada ilmu yang diberikan Allah pada kita untuk kita belajar cuma kita tak sedar atau sengaja tak mahu ambil tahu kerana kita bersifat sombong sedangkan sombong adalah sifat yang dibenci Allah.

Ilmu bukanlah sesuatu yang kita pelajari setakat di rumah, Sekolah, University mahupun Kolej tapi juga dari Alam dan hidupan harian.

Samaada sedar atau tidak, tidak ada perkara yang berlaku didunia ini adalah sia-sia kerana Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Maka kita yang masih diberi kesempatan hidup ini perlulah berusaha dan sentiasa berfikir, bukan melamun.

Untuk Ilmu, kita ambil contoh perkara yang biasa berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Apabila kawan atau saudara mara kita mengadu kesusahan mereka. (Kebiasaannya susah duit). Ada juga yang susah kerana penyakit, contohnya perlukan buah pinggang baru, jantung atau apa sahaja organ dalaman yang baru.

Apa pun, bila mereka luahkan kesusahan ni, sebagai masyarakat @ kawan, apa yang kita buat?.

Apa yang saya nampak, sedikit yang membantu tapi banyak yang pantas menjawab ‘mereka pun tak ada duit’ atau ‘mereka sendiri pun susah’.

Dah tak mampu nak menolong satu hal, lepas tu bercerita pula pada orang lain tentang aib orang tadi, kemudian ditokok tambah pula dengan kata-kata pemalas!.
Yang mendengar pula selalu memberi komen ‘apa nak buat, dah nasib dia’ atau ‘padan muka!, penyakit cari sendiri atau ‘kerjalah kenapa tak kerja?’

Ini semua sebenarnya tak sepatutnya berlaku. Islam mengajar kita erti kasih sayang, bantu membantu hingga Nabi pernah bersabda ‘Sayangilah saudaramu sebagaimana engkau menyayangi dirimu sendiri’ Masyarakat hari ini ramai yang tahu itu tetapi kurang mempraktikkannya.

Sepatutnya, jika kita tak mampu nak tolong dengan duit, kita tolong dengan menjadi pendengar setia, kemudian kita tolong dengan menyimpan amanah kesusahan tadi dengan tidak mengaibkan iaitu menjaja cerita kesusahannya sana sini pada orang yang jelek peribadinya.
Rasulullah SAW pernah bersabda: “Wahai sekalian orang yang beriman dengan lidah dan tidak beriman dengan hatinya, janganlah kamu mengumpat kaum muslimin dan jangan membongkar rahsia mereka. Siapa yang membongkar rahsia saudaranya, Allah akan membongkar rahsianya pula. Dan siapa yang dibongkar rahsianya oleh Allah, Dia akan membukakan aibnya di tengah rumahnya”

Apa yang wajar kita lakukan ialah mendoakan, agar Allah melapangkan kesempitan hidup kawan @ saudara kita tadi. Dengan cara itu juga kita sebenarnya telah melaksanakan tugas kita sebagai seorang kawan dan saudara seagama. Mungkin kudrat dan kemampuan kita tak berupaya untuk mengurangkan kesempitan @ kesusahan kawan tadi tetapi Allah mampu.
Sebab itu berdoalah, mohon pada Allah dan insyaallah, Allah S.W.T sentiasa mendepakan tangan mengabulkan doa hamba yang meminta padanya. Ketahui juga bahawa orang yang mendoakan untuk saudaranya akan juga diberikan Allah seperti apa yang diminta untuk dirinya. Bukankah ianya satu keberuntungan yang tidak disangka-sangka?. Kerana itu doakanlah yang baik-baik bukan yang melampaui batas kerana Allah tidak suka pada hamba-Nya yang melampaui batas.

Mendoakan lebih baik dari mengata (ghibah) kerana dosanya lebih besar dari dosa orang lelaki yang berzina. Rasulullah SAW pernah bersabda; “Takutlah kamu akan ghibah (mengumpat) sesungguhnya ghibah lebih berat dari zina. Seorang lelaki yang berzina lalu bertaubat, maka Allah menerima taubatnya. Sedang Allah tidak mengampuni orang yang ghibah (mengumpat) sebelum orang yang dighibah (umpat) itu memaafkannya’ begitulah besarnya doa mengumpat itu.

Seterusnya apa yang harus kita lakukan ialah menasihati kawan @ saudara kita tadi supaya sentiasa mengingati Allah dan selalu mengerjakan suruhan-Nya. Kemudian selalulah berdoa kerana doa itu adalah senjata orang-orang mukmin dan sesungguhnya Allah S.W.T sangat suka pada hamba yang selalu meminta pada-Nya.

Dari sudut positif, saya melihat kepincangan masyarakat hari ini juga merupakan ‘satu ilmu’ yang diberikan Allah. Ilmu supaya kita mendalami lagi agama Islam. Hikmah pentingnya ilmu agama diterapkan dari awal pada anak-anak. Kepincangan masyarakat lahir dari ibu bapa yang kurang mengamalkan agama islam yang sebenar. Anak-anak yang lahir adalah suci dari dosa tapi ibu bapalah yang mencoretkan hitam putih kehidupannya.

Jika ibu bapa merasa telah lewat untuk mengajar anak-anak mereka dengan didikan agama sebab kejahilan diri sendiri, maka berusahalah menghantar anak-anak ini belajar agama di sekolah-sekolah agama dengan guru yang bertauliah. Insyaallah, jika didikan yang diterima baik, sejahat-jahat ayah dan ibu, tetap akan balik ke pangkal jalan kerana anak-anak ini akan sering mendoakan yang terbaik untuk kedua orang tuanya.

Berbalik pada sikap masyarakat tadi, jika mendoakan pun kita tak mampu buat, maka berpeganglah pada kata-kata Imam Agung kita, Imam Al-Shafi'e iaitu 'bantulah dalam berkata dengan diam dan mengambil hukum dengan berfikir’.

Itulah sebaik-baik cara.
wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan