Selasa, 26 Oktober 2010

Suami patut hargai pengorbanan isteri

Oleh Ustaz Zawawi Yusuf

Golongan isteri yang menyedari bibit perubahan negatif sikap baran pasangan hingga mula rasa tidak selamat perlu mengambil langkah awal dengan mendapatkan nasihat ahli keluarga sebelum membuat aduan kepada mahkamah bagi mengelak menjadi mangsa dera ‘suami Firaun’.

Pakar motivasi dan penceramah terkenal, Zawawi Yusof berkata, wanita perlu tahu hak mereka serta mendapatkannya melalui rujukan ke mahkamah supaya nasib mereka terbela dan tidak terus-terusan menjadi mangsa dera suami yang tidak berperikemanusiaan.

Beliau berkata, di sebalik kes yang dipaparkan di dada akhbar, masih ramai suami di negara ini yang mendera isteri masing-masing walaupun tanggungjawab sebenar mereka menjaga isteri dengan baik.


“Tugas sebenar suami menyelamatkan isteri masing-masing dan menjaganya bukan menganiaya isteri hingga memperlakukan pasangan dengan kejam.


“Sepatutnya suami perlu bersyukur jika isteri menjaga makan minum mereka kerana tugas itu tidak wajib untuk dilaksanakan isteri, tetapi ia dilakukan sebagai pengorbanan isteri berkhidmat kepada suaminya.


“Dalam Islam, suami yang mampu perlu menyediakan pembantu untuk memasak dan sebagainya tetapi jika tidak mampu, maka isteri boleh berkorban dengan melakukannya untuk suami dan suami sepatutnya menghargainya,” katanya.


Zawawi berkata, suami yang mendera isteri terutama jika ia berkaitan perkara kecil seperti masakan tidak sedap, itu menunjukkan suami terbabit sakit jiwa dan mati hati sekali gus membuka ruang kepada isteri merujuk perkara itu ke mahkamah bagi tindakan selanjutnya.


Katanya, walaupun haram untuk meminta cerai tetapi jika isteri dianiaya, Islam memberikan ruang yang luas kepada isteri untuk berpisah demi kebaikannya melalui tuntutan fasakh.


“Golongan wanita perlu berhati-hati memilih pasangan dengan menggunakan konsep Islam iaitu melihat kepada keluarga, harta, rupa dan agama tetapi jika memilih yang beragama, dia akan selamat iaitu suami yang bukan saja selamat malah mampu menyelamatkan,” katanya.


Muka depan Harian Metro semalam melaporkan seorang isteri menerima deraan kejam dan tidak masuk akal apabila dibelasah, dicukur kepala hingga botak dan lebih mengaibkan, mukanya dikencing suaminya hanya kerana masakannya tidak menepati selera.


Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam Khamis lalu itu, suami terbabit yang berusia lewat 30-an turut menceraikan isterinya dengan lafaz talak tiga.

Ahad, 10 Oktober 2010

KELEBIHAN UMAT RASULULLAH S.A.W MENURUT PANDANGAN NABI ADAM A.S

Disebutkan bahwa Nabi Adam A.S telah berkata: “Sesungguhnya Allah S.W.T telah memberikan kepada umat Muhammad S.A.W empat kemuliaan yang tidak diberikan kepadaku:

1. Taubatku hanya diterima di kota Mekah, sementara taubat umat Nabi Muhammad S.A.W diterima di sebarang tempat oleh Allah S.W.T.

2. Pada mulanya aku berpakaian, tetapi apabila aku berbuat derhaka kepada Allah S.W.T, maka Allah S.W.T telah menjadikan aku telanjang tetapi apabila umat Muhammad S.A.W membuat derhaka dengan telanjang, Allah S.W.T memberi mereka pakaian.

3. Ketika aku telah berderhaka kepada Allah S.W.T, maka Allah S.W.T telah memisahkan aku dengan isteriku tetapi bila umat Muhammad S.A.W berbuat derhaka, Allah S.W.T tidak memisahkan isteri mereka.

4. Memang benar aku telah derhaka kepada Allah S.W.T dalam syurga dan aku dikeluarkan dari syurga tetapi umat Muhammad S.A.W yang durhaka kepada Allah akan dimasukkan ke dalam syurga apabila mereka bertaubat kepada Allah S.W.T

Luahan Penulis:
Alhamdulillah Ya Allah kerana telah menjadikan aku umat Muhammad SAW
"Allahumma Salli A'la Saidina Muhammad wa A'la Alihi Saidina Muhammad"

Antara Syaitan dan Nafsu, mana lebih jahat?

Kesah 'Nafsu' yang degil pada perintah Allah

Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah, menerangkan:

Bahawa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal.
Maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai akal mengadaplah engkau."
Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T.

Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah engkau!".
Lalu akal pun berbalik.

Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : "Wahai akal! Siapakah aku?".
Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah."

Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau"

Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!".
Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri.

Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau."

Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya.

Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?".
Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau."

Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun.
Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?".
Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku."

Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahawa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa.

Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahawa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah.

Melawan nafsu lebih hebat dari melawan Syaitan

Sejahat-jahat Syaitan, tetap mengaku Allah itu Tuhannya dan tetap tunduk terhadap-Nya.
Syaitan hanya tidak mahu tunduk pada manusia tetapi akur Allah itu Tuhannya dan Tuhan sekalian makhluk.

Pesan Rasulullah tentang 2 perkara menyebabkan menjadi Kafir

Dari Abu Hurairah ra katanya:

Rasulullah SAW bersabda: "Ada 2 perkara yang keduanya dapat menyebabkan mereka menjadi kafir iaitu mencela keturunan (orang lain) dan meratapi mayat"

Wanita!! dan peranan 'Lelaki' terhadapnya

Wanita : Akal senipis rambutnya

Jangankan lelaki biasa, nabi pun terasa sunyi tanpa wanita.

Tanpa mereka, fikiran dan perasaan lelaki akan resah.
Masih mencari walau ada segalanya.

Apa yang tiada dalam syurga?
Namun Adam tetap rindukan Hawa.

Dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok.
Untuk diluruskan oleh lelaki.
Tetapi seandainya lelaki itu sendiri tidak lurus,
Mana mungkin yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan jalan yang ditunjuk oleh Allah,
Kerana mereka diciptakan sebegitu rupa oleh Allah.
Didiklah mereka dengan panduan darinya.

Jangan cuba menjinakkan mereka dengan harta, kerana nantinya mereka semakin liar.
Janganlah hiburkan mereka dengan kecantikan, kerana nantinya mereka
akan semakin derita.

Kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal.
Di situlah punca kekuatan dunia.

Akal senipis rambutnya, tebalkanlah ia dengan ilmu.
Hati serapuh kaca, kuatkanlah ia dengan iman...
Perasaan selembut sutera, hiasilah ia dengan akhlak.

Suburkanlah ia kerana dari situlah nantinya...
Mereka akan lihat nilaian dan keadilan Rab...

Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan..
Ia bukan diskriminasi Allah...sebaliknya di situlah kasih dan sayang Allah...

Wanita yang lupa hakikat kejadiannya...
Pasti tidak akan terhibur, dan tidak akan menghiburkan...

Tanpa iman, ilmu dan akhlak..mereka tidak akan lurus...
Bahkan akan semakin membengkok...

Itulah hakikatnya andai wanita tidak kenal Rabbnya...

Bila wanita menjadi derhaka...
pasti dunia lelaki akan menjadi huru hara....

Lelaki pula janganlah mengharapkan ketaatan semata-mata.! ..
Tapi binalah kepimpinan...
Pastikan sebelum wanita menuju ilahi,
Pimpinlah diri kepadaNya...
Jinakkan diri kepada Allah...
Nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah pimpinanmu...

'Janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Az-Zahra'
Seandainya dirimu tidak sehebat Saidina Ali karamallahuwajhah'

Asal-usul Sembahyang

SUBUH:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Subuh ialah Nabi Adam a.s., iaitu tatkala baginda keluar dari syurga lalu dihantar ke bumi.

Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar Subuh telah keluar Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

Rakaat pertama:- Bersyukur baginda kerana terlepas dari kegelapan malam.

Rakaat kedua:- Bersyukur baginda kerana siang telah menjelma.


ZOHOR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s., iaitu tatkala Allah s.w.t. telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s.

Sedang seruan itu datangnya pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim empat rakaat.

Rakaat pertama:- Bersyukur bagi penebusan.

Rakaat kedua:- Bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.

Rakaat ketiga:- Bersyukur dan bermohon akan keredhaan Allah.

Rakaat keempat:- Bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.


ASAR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Asar ialah Nabi Yunus a.s., tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan nun. Ikan nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai sedang ketika itu telah masuk waktu Asar.

Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan iaitu:

Rakaat pertama:- Kelam dengan kesalahan.

Rakaat kedua:- Kelam dengan air laut.

Rakaat ketiga:- Kelam dengan malam.

Rakaat keempat:- Kelam dengan perut ikan Nun.


MAGHRIB:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Maghrib ialah Nabi Isa a.s., tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari.

Bersyukurlah Nabi Isa lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut, iaitu:

Rakaat pertama:- Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.

Rakaat kedua:- Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang
telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.

Rakaat ketiga:- Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah jua, tiada dua atau tiga.


ISYAK:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Isyak ialah Nabi Musa a.s. Pada ketika itu Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita.

Allah lalu menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

Rakaat pertama:- Dukacita terhadap isterinya.

Rakaat kedua:- Dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.

Rakaat ketiga:- Dukacita terhadap Firaun.

Rakaat keempat:- Dukacita terhadap anak Firaun.

Pesan Rasulullah SAW

Tiga perkara yang mesti dijauhi

Rasulullah SAW telah bersabda:
“Barang siapa yang bangun di waktu pagi sambil bersungut kerana kesusahan hidup, maka seolah-olah ia bersungut kerana perbuatan Tuhannya. Barang siapa menjadi sedih kerana perkara-perkara dunia bererti ia telah marah kepada Allah. Dan barang siapa merendahkan dirinya kepada orang kaya kerana kekayaannya maka telah hilang dua pertiga agamanya.”

4 perkara berharga dalam diri manusia

Rasulullah S.A.W bermaksud:
“Ada empat macam yang berharga dalam diri manusia dan ia boleh hilang dengan empat sebab. Adapun yang berharga itu ialah akal, agama, malu dan amal soleh. Maka akal boleh hilang disebabkan marah. Agama boleh hilang disebabkan dengki. Malu boleh hilang disebabkan tamak dan amal soleh boleh terhapus disebabkan suka menceritakan keburukan orang lain.

10 SEBAB DOA TIDAK DIMAKBULKAN

"Suatu hari Ibrahim Bin Adham (Abu Ishaq) berjalan di pasar basrah lalu ia dikelilingi oleh orang ramai dan mereka bertanya kepadanya :

"Ya Abu Ishaq, Allah berfirman bermaksud "Mintalah olehmu sekelian kepada Ku nescaya Aku kabulkan. Dan kami telah satu tahun berdoa dan doa kami belum dikabulkan !".

Ibrahim bin Adham menjawab : "Bagaimana Allah hendak mengkabulkan doa kamu sedangkan hati kamu tertutup oleh 10 perkara".

1. Kamu telah mengetahui Allah tetapi belum tunaikan haq-haqNya.

2. Kamu telah membaca Al-Quran tetapi tidak melaksanakan tuntutannya.

3. Kamu telah mengetahui syaitan sebagai musuh tetapi masih mentaatinya dan menyetujui seruannya.

4. Kamu menyatakan kamu umat Muhammad s.a.w tetapi tidak mengerjakan sunnahnya.

5. Kamu mengatakan dirimu akan masuk Syurga tetapi tidak mengerjakan apa-apa amalan yang akan membawamu ke Syurga.

6. Kamu mengatakan dirimu selamat dari neraka tetapi ternyata kamu memasukkan dirimu kepadanya.

7. Kamu mengatakan mati adalah benar tetapi tidak bersiap-siap menghadapi mati.

8. Kamu sibuk meneliti aib atau cacat teman-temanmu tetapi tidak pernah melihat aibmu sendiri.

9. Kamu telah makan dan merasakan nikmat Tuhanmu tetapi tidak mahu bersyukur kepada-Nya.

10. Kamu telah menguburkan mayat-mayat rakanmu tetapi tidak mengambil pengajaran dari mereka. "

Jumaat, 8 Oktober 2010

Tanda Sayang Allah pada Hamba-Nya

Bismillahirrahmanirrahim dan Assalamualaikum, kita bertemu lagi...

Nabi saw bersabda: "Apabila Allah menyukai hamba-Nya, maka dia mengujinya agar terlihat kerendahan hatinya"

Sabda Baginda lagi: "Apabila Allah menyukai hamba-Nya, maka Dia mengunci daripadanya urusan duniawinya dan membuka atasnya urusan akhiratnya serta menuangkan bencana atasnya"

Dalam riwayat lain menyebutkan: "Apabila Allah berkehendak membersihkan hamba-Nya maka dia melekatkan bencana kepadanya" (hadis riwayat At-Thabrani)

Dalam kitab Asy-Syifa' bi Ta'rifi Huquqi 'l-Mushtafa disebutkan suatu penjelasan Luqmanul Haqim: "Wahai anakku, emas dan perak adalah ujian untuk neraka dan orang yang beriman diuji dengan bencana"

Dalam kitab Al-Bahru 'l-Maurud fi 'l-Mawatsiqi wa 'l-Uhud, karya Imam Sya'rani al-A'rif bi'l-Lah diterangkan, bahawa Sayyid Ibrahim Al-matbuli menjelaskan, " bahawa setelah Allah menjadikan makhluk, maka mereka berebut ingin menghadap ke haribaan-Nya yang khusus".

Lalu Allah berfirman kepada mereka : "Perhatikanlah ucapanmu kerana sesungguhnya hamba yang sejati tidak akan dapat dipalingkan oleh sesuatu apa pun yang memalingkannya dan tidak akan dapat diusir oleh pedang dan sesuatu yang yang membinasakan"

Mereka menjawab: " Ya Tuhanku, ujilah kami dengan apa saja yang Engkau kehendaki"

Lalu Allah menciptakan dunia. Maka larilah 90% dari mereka dan tersisa hanya 10% saja.

Maka kepada yang 10% itu, Allah berfirman: "Siapakah kamu?"

Mereka menjawab: "Hamba dan kekasih-Mu"

Allah berfirman: "Perhatikanlah ucapanmu itu kerana hamba yang sejati tidak akan dapat dipalingkan oleh sesuatu pun yang memalingkannya dan tidak akan dapat diusir oleh pedang dan sesuatu yang yang membinasakan. Kamu telah melihat bagaimana kawan-kawanmu berangkat ke dunia"

Mereka menjawab: "Ya Tuhan kami, ujilah kami dengan apa sahaja yang Engkau kehendaki"

Lalu Allah menciptakan syurga untuk mereka dan menghiasinya pada pandangan mereka. Maka pergilah yang 9% dari mereka.

Kemudian Allah memandang kepada yang 1% itu seraya berfirman: "Siapakah kamu?"

Mereka menjawab: "Kekasih-Mu"

Allah berfirman: "Perhatikanlah ucapanmu itu kerana seorang kekasih tidak akan dapat dipalingkan oleh sesuatu pun yang memalingkannya dan tidak akan dapat diusir oleh pedang dan sesuatu yang yang membinasakan"

Mereka berkata: "Silakan uji kami dengan apa saja yang Engkau kehendaki"

Lalu diturunkan kepada mereka berbagai bencana sehingga tubuh mereka terpotong-potong namun mereka tetap teguh dalam pendirian dan kesabaran.

Kemudian Allah berfirman: "Kamu adalah sebenar-benar hamba-Ku yang tidak menyukai dunia, tidak menginginkan keberangkatan ke syurga dan tidak pula lari dari bencana. Kamu ahli yang bersimpuh di haribaan-Ku, kamu redha kepada-Ku dan Aku pun redha kepadamu"

Kesimpulannya:
Sesungguhnya Allah mempunyai hamba-hamba cendikiawan yang menceraikan dunia dan tidak khuatir pada cubaan. Mereka ini memandang dunia tetapi tahu bahawa dunia bukan tempat abadi. Mereka-mereka ini menjadikan lautan dan menjadikan amalan saleh sebagai bahtera.

Sumber : 'Penawar Kegundahan Hati' terbitan Darulfikir.

Khamis, 7 Oktober 2010

Pesan Rasulullah tentang Taubat

Firman Allah dalam surah At Tahrim, surah 66, ayat 8 yang bermaksud;
'Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya"

Ubay bin Kaa'ab, Mu'adz bin Jabal dan Umar bin Khatab ra. berkata:
"Taubat yang murni ialah taubat yang tidak ingin kembali melakukan dosa, bagaikan air susu yang tidak akan kembali pada susunya"

Diriwayatkan dari Aisyah ra katanya:
"Rasulullah saw bersabda kepadaku: Jika kamu terdorong melakukan suatu dosa, maka mintalah ampun kepada Allah kerana sesungguhnya taubat dari dosa adalah menyesal dan mohon ampunan"

Dari Ali bin Abu Talib ra:
"Sesungguhnya saya pernah keluar bersama Rasulullah saw lalu beliau bersabda: "Hai Ali, setiap kesusahan ada kesudahannya kecuali kesusahan penghuni neraka. Maka kesusahannya tidak putus. Setiap kegembiraan dan kenikmatan pasti akan terputus selain kegembiraan penghuni syurga dan kenikmatan syurga kerana sesungguhnya kenikmatannya tidak akan lenyap. Hai Ali, apabila kamu melakukan suatu dosa, maka janganlah kamu tunda taubatmu sampai besuk pagi"

Diriwayatkan lagi oleh Ali bin Abu Talib ra.:
"Dari Nabi saw: Sesungguhnya Malaikat Jibril mendatangi beliau menjelang wafatnya lalu berkata: "Ya Muhammad, Tuhan menyampaikan salam dan berfirman kepadamu: "Bahawa barangsiapa bertaubat kira-kira sebulan sebelum kematiannya maka diterima taubatnya".

lalu Rasulullah bersabda: "Sebulan untuk umatku adalah terlalu lama"

Maka Malaikat Jibril pergi. Sesudah itu kembali lagi seraya berkata: "Ya Muhammad, Tuhan menyampaikan salam dan berfirman kepadamu: "Bahawa barangsiapa bertaubat kira-kira satu Jumaat sebelum matinya, maka diterima taubatnya"

Maka Rasulullah bersabda lagi: Ya Jibril, satu Jumaat untuk umatku adalah terlalu lama"

Maka Malaikat Jibril pergi. Sesudah itu dia kembali seraya berkata: "Ya Muhammad, Tuhan menyampaikan salam dan berfirman kepadamu : "Bahawa barangsiapa bertaubat kira-kira sehari sebelum kematiannya, maka diterima taubatnya"

Rasulullah bersabda lagi: "Ya Jibril, sehari untuk umatku adalah terlalu lama"

Lalu Malikat Jibril pergi, sesudah itu dia kembali seraya berkata: " Ya Muhammad, Tuhan menyampaikan salam dan berfirman kepadamu: "Bahawa jika tempoh sehari ini terlalu lama, maka jika nyawa sudah sampai di kerongkong dan tidak mungkin minta ampun lagi dengan lisannya tetapi dia merasa MALU kepada-Ku dan merasa menyesal di dalam hatinya, maka Aku beri ampunan padanya dan Aku tidak peduli lagi (terhadap dosanya)"

Sumber rujukan : 'Penawar Kegundahan Hati' buku terbitan Darul Fikir.
Penulis : Tidak diketahui kerana keadaan buku yang agak uzur.
Karya tulisan beliau diberi judul : At-Tuhfatu 'l-Mardhiyyah fi 'l-Akhbari 'l-Qudsiyyah wa 'l-Ahaditsi 'n-Nabawiyyah wa'l-Aqaidi't-Tauhidiyyah.


Renungan bersama:
1) Betapa Rahman(Maha Pengasih) dan Rahim (Maha Penyayang) Allah pada kita umat Muhammad

2) Betapa besar kecintaan Rasul pada kita yang meminta tempoh Taubat yang paling sedikit hingga Allah menerima taubat kita walaupun nyawa dah sampai dikerongkong.

3) Betapa Allah yang sifat-Nya 'Maha Besar' lagi 'Maha Berkuasa' sentiasa mendahulukan salam pada Rasul-Nya sebelum berfirman sedangkan kita?.. sedikit sekali mendahulukan salam sebelum berbicara.

Maka tidak berterima kasihkah kita pada Allah dan Rasulullah atas kecintaan ke Dua-Nya terhadap kita sebagai hamba-Nya dan umatnya?.

Juga tidak berterima kasihkah kita pada Ilmu yang diajarkan agar kita sentiasa mendahulukan salam sebelum berbicara?. (Merendah diri itu amalan mulia lagi terpuji)

Sungguh Akhlaq Rasululullah adalah akhlaq yang terpuji kerana Allah guru Baginda dan sungguh malulah kita, mengaku sebagai Hamba Allah dan Umat Rasulullah jika tidak sekali pun bersyukur, memuji Allah dan berselawat memuji Rasulullah, Rasul yang terpuji.

Sabtu, 2 Oktober 2010

Naluri Iblis - Al Kuliyah 1 Okt 2010

Bersama Ustaz Mohd Zawawi Jusoh ( Pendakwah )

Sedikit kupasan dan petikan dari ceramah beliau;

Suatu hari datang seseorang lalu memaki Abu Bakar sedang ketika itu Rasulullah SAW berada di sebelah beliau. Abu Bakar hanya mendiamkan diri dan Rasulullah SAW juga diam.

Kemudian tatkala Abu Bakar ingin membalas (marah), Rasulullah lari dari beliau.

Tanya Abu Bakar pada Rasulullah: Ya Rasulullah, bukankah tadi kau disebelahku?. Kenapa kemudiannya kau lari?

Jawab Rasulullah: Ketika kamu dimaki dan kamu diam (sabar), ketika itu duduk Malaikat disampingmu tetapi ketika kamu marah, Iblis duduk disisimu dan Malaikat lari dari mu maka sebab itu aku pun lari.

Moral:
Maksudnya 'Marah' adalah angkara syaitan dan ketika marah bermakna, Syaitan itu mengendali nafsu dan hati dan hati memerintah akal dan tubuh supaya bertindak. maka jauhi sifat marah kerana sifat marah cetusan oleh syaitan. 'MARAH' itu api dan syaitan itu dijadikan dari api!. Apabila marah, Syaitan berada disebelah kita.

Wassalam