Selasa, 26 Oktober 2010

Suami patut hargai pengorbanan isteri

Oleh Ustaz Zawawi Yusuf

Golongan isteri yang menyedari bibit perubahan negatif sikap baran pasangan hingga mula rasa tidak selamat perlu mengambil langkah awal dengan mendapatkan nasihat ahli keluarga sebelum membuat aduan kepada mahkamah bagi mengelak menjadi mangsa dera ‘suami Firaun’.

Pakar motivasi dan penceramah terkenal, Zawawi Yusof berkata, wanita perlu tahu hak mereka serta mendapatkannya melalui rujukan ke mahkamah supaya nasib mereka terbela dan tidak terus-terusan menjadi mangsa dera suami yang tidak berperikemanusiaan.

Beliau berkata, di sebalik kes yang dipaparkan di dada akhbar, masih ramai suami di negara ini yang mendera isteri masing-masing walaupun tanggungjawab sebenar mereka menjaga isteri dengan baik.


“Tugas sebenar suami menyelamatkan isteri masing-masing dan menjaganya bukan menganiaya isteri hingga memperlakukan pasangan dengan kejam.


“Sepatutnya suami perlu bersyukur jika isteri menjaga makan minum mereka kerana tugas itu tidak wajib untuk dilaksanakan isteri, tetapi ia dilakukan sebagai pengorbanan isteri berkhidmat kepada suaminya.


“Dalam Islam, suami yang mampu perlu menyediakan pembantu untuk memasak dan sebagainya tetapi jika tidak mampu, maka isteri boleh berkorban dengan melakukannya untuk suami dan suami sepatutnya menghargainya,” katanya.


Zawawi berkata, suami yang mendera isteri terutama jika ia berkaitan perkara kecil seperti masakan tidak sedap, itu menunjukkan suami terbabit sakit jiwa dan mati hati sekali gus membuka ruang kepada isteri merujuk perkara itu ke mahkamah bagi tindakan selanjutnya.


Katanya, walaupun haram untuk meminta cerai tetapi jika isteri dianiaya, Islam memberikan ruang yang luas kepada isteri untuk berpisah demi kebaikannya melalui tuntutan fasakh.


“Golongan wanita perlu berhati-hati memilih pasangan dengan menggunakan konsep Islam iaitu melihat kepada keluarga, harta, rupa dan agama tetapi jika memilih yang beragama, dia akan selamat iaitu suami yang bukan saja selamat malah mampu menyelamatkan,” katanya.


Muka depan Harian Metro semalam melaporkan seorang isteri menerima deraan kejam dan tidak masuk akal apabila dibelasah, dicukur kepala hingga botak dan lebih mengaibkan, mukanya dikencing suaminya hanya kerana masakannya tidak menepati selera.


Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam Khamis lalu itu, suami terbabit yang berusia lewat 30-an turut menceraikan isterinya dengan lafaz talak tiga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan