Khamis, 6 Mei 2010

Kekayaan yang selalu dilupakan

Manusia selalu berkehendak pada kekayaan tanpa sedar mereka sebenarnya mempunyainya tapi tak menghargainya berbanding manusia yang tak mempunyainya tetapi terlalu menghargai dan berharap untuk mendapatkannya.

Kekayaan ini ialah IBU dan AYAH.

Golongan yang berkehendak pada kekayaan itu ialah anak-anak yang mempunyai IBU dan AYAH tetapi tidak pernah sedar malah kadang kala tidak menghargai langsung kehadiran kedua orang tuanya manakala golongan yang tidak mempunyai IBU dan AYAH pula selalu berharap agar mereka punya IBU dan AYAH.

Kita yang mempunyai IBU dan AYAH sepatutnya bersyukur kerana memiliki kekayaan ini.

Sabda Rasulullah SAW “Orang tua itu adalah kunci pintu Syurga. Jika mahu, aku hilangkan saja atau aku menjaganya” riwayat at Tarmizi dari Abu Darda’ ra

Suatu peristiwa yang saya ingat benar, saya pernah ditanya oleh teman serumah saya, waktu itu kami menyewa sebuah rumah di Melaka Baru dan tinggal berdua sahaja.

Suatu hari Ayah dan Ibu saya datang berkunjung kerumah sewa kami. Disebabkan teman saya ini tinggal di bilik hadapan, maka dialah yang mendengar salam dari orang tua saya. Sambil menjawab salam, dia mengetuk pintu bilik saya memberitahu akan kehadiran mereka.

Setelah berbasa basi sebentar, teman saya tadi lalu minta diri untuk ke dapur. Saya juga ikut sama ke dapur. Menjerang air dan menyediakan sedikit juadah buat keduanya.

Ketika inilah teman saya kata “..kamu ni beruntung dan patut bersyukur sebab masih ada orang tua. Jagalah mereka baik-baik…, itulah harta kekayaan yang kamu ada”. Saya angguk, bersetuju dan saya dapat lihat ada air mata yang bergenang di kelopak matanya. Saat itu saya tahu dia sedih sebab kenangkan nasib diri yang tak ada Ayah dan Ibu. Teman saya ini membesar hanya dengan kasih sayang seorang kakak

Waktu itu saya sangat bersyukur kerana punya IBU dan AYAH. Dan benarlah kata teman saya tadi,kedua orang tua saya adalah KEKAYAAN saya.

Sabda Rasullullah SAW, “Mohonlah kepada Allah untuk berbakti kepadanya. Jika engkau berbuat demikian, maka sama dengan engkau berhaji, berumrah dan berjihad” riwayat Imam Muslim

Kepada yang lupa pada orang tua masing-masing, mulai sekarang ingatlah pada keduanya. Tanpa mereka tiada kita. Taatlah... walaupun kata-kata mahupun perbuatan mereka kadangkala menyakitkan hati dan amat pahit untuk di telan.

Abul-Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibn Abbas r.a. berkata: "Tiada seorang mukmin mempunyai kedua ibu bapa lalu ia pagi-pagi taat dan baik pada keduanya melainkan Allah s.w.t. membukakan untuknya daun pintu syurga, dan tidak mungkin Allah s.w.t. redha padanya jika salah satu ibu atau bapanya murka kepadanya sehingga mendapat redha dari keduanya. Ditanya: Meskipun orang tua itu zalim? Jawabnya: Meskipun zalim.


Dan didalam hadis marfu' ada tambahan: Dan tiada pagi-pagi ia durhaka (menyakiti hati) orang tuanya melainkan Allah s.w.t. membukakan baginya dua pintu neraka dan jika hanya satu maka satu."“Redha Tuhan itu terdapat dalam redha orang tua serta kemurkaan-Nya terdapat dalam kemarahan orang tua” Riwayat Al-Bazzar,

Inilah wajah kedua orang tuaku.

Bagi anak lelaki yang telah berumahtangga, jangan sesekali membelakangkan kepentingan kedua orang tua kerana mengutamakan keluarga sendiri. Ini kerana mentaati dan menjaga kedua orang tua merupakan satu tanggungjawab dan amanah Allah yang dipikul sampai mati.

Anak-anak tidak boleh membelakangkan kedua orang tua mereka kerana “Keredhaan Allah itu bergantung kepada keredhaan kedua orang tua dan kemurkaan Allah juga bergantung kepada kemarahan kedua orang tua” riwayat Ibnu Hibban

Walau bagaimana taat pun anda pada suruhan Allah, tetapi tidak mentaati orang tua sama seperti anda tidak mentaati Allah kerana “Taat kepada Allah juga bermakna taat terhadap kedua orang tua serta menderhakai-Nya juga bermakna menderhakai terhadap orang tua”riwayat At- Thabrani

Sama-samalah kita bermuhasabah diri supaya mana yang baik kita ikuti dan yang jahat kita hindari. Moga sebahagian lirik lagu dari kumpulan Rabbani 'Subuh yang terakhir' ini membuka minda kita bilakah kali terakhir kita menunjukkan rasa kasih dan sayang kita pada mereka?

Rabbani 'Subuh yang terakhir'

Bilakah kali yang terakhir kau kucupi pipi ayah bonda

yang tak mungkin kau terbalas budi

Tunjukkanlah syukurmu bertuahnya kau dilahir

Andai esok takkan hadir

Wassalam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan